Daerah Tutong terletak di tengah-tengah perjalanan ibu Negara dan Kuala Belait. Kini daerah Tutong semakin bertukar wajah persekitarannya ketika pertumbuhan penduduknya yang semakin meningkat.
Menurut sumber dari Pusat Sejarah, terdapat beberapa cerita tradisi lisan puak Tutong yang mengemukakan asal usul nama Tutong itu.
Di antaranya, nama Tutong adalah berasal dari nama seorang puak Murut yang banyak membantu orang-orang yang tinggal di Kampong Lurah Saban dari gangguan ayau (pemburu kepala) yang dilakukan oleh orang-orang Kayan. Untuk mengenangkan jasa orang Murut bernama Tutong itu akhirnya diberikan nama Sungai Tutong.
Sungai Tutong yang dimaksudkan itu ialah sungai yang sekarang terletak di Kampong Suran. Di sungai tersebutlah asalnya timbul gelaran Tutong itu dan juga menjadi perkampungan terawal puak Tutong.
Sementara dari sumber tradisi lain, ia mengisahkan tentang perkahwinan seorang bernama Tutong dengan seekor ikan yu yang boleh menjelma menjadi seorang manusia. Hasil daripada perkahwinan tersebut, ia mewujudkan suatu ikatan persefahaman di antara manusia dengan ikan yu mengenai keselamatan kedua-dua pihak ketika berada di sungai atau di laut. Bagi mereka yang menghadapi masalah ketika berada di sungai atau di laut disyorkan menyeru nama si Tutong nescaya akan dapat pertolongan dari ikan-ikan yu.
Berdasarkan dari cerita di atas, dapatlah disimpulkan bahawa asal usul nama Tutong itu diambil daripada nama seseorang. Bagi mereka yang menetap di persekitaran Sungai Tutong akan digelar sebagai orang Tutong.