Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

KARNIVAL LAKANON TUTONG (TUTONG FOOD CARNIVAL)

Pelancaran TFC.jpg

Jabatan Bandaran Tutong dan Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong menganjurkan Karnival Lakanon Tutong (Tutong Food Carnival) yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 21 hingga 23 September 2018 bertempat di Kawasan Bangunan Pasar Malam Pekan Tutong, iaitu pada hari pertama (Jumaat) dan kedua (Sabtu) ianya bermula jam 2.30 petang hingga jam 10.00 malam. Sementara itu pada hari terakhir (Ahad) bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Adapun tujuan karnival ini diadakan, bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui penganjuran pelbagaikan aktiviti berkonsepkan perekonomian dan kemasyarakatan ke arah kemajuan Pekan Tutong dan meningkatkan sosio ekonomi masyarakat. Memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama yang padu melalui pendekatan "whole of nation approach" di dalam sama-sama mendukung Wawasan Negara Brunei Darussalam ke arah sebuah Negara Maju 2035 dan mewujudkan iklim perniagaan yang menarik dan dinamik di Bangunan Pasar Malam dan sekitarnya agar sentiasa dikunjungi dan menjadi pilihan orang ramai.

Sesuai dengan fungsi Bangunan Pasar Malam, karnival ini akan mendedahkan lebih 50 jenis sajian makan yang popular dan menjadi ikonik di Daerah Tutong, disusun atur secara bufet, melalui penyertaan daripada orang ramai yang terdiri daripada Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Belia – Belia dan Individu, serta Pengusaha – Pengusaha Produk Makanan. Tema Marilah makan bersama keluarga adalah merupakan interpretasi bagi menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke karnival ini dengan membawa keluarga untuk makan bersama.

Di karnival ini juga turut diisi dengan aktiviti-aktiviti sampingan seperti demonstrasi dan bengkel memasak, pameran produk-produk makanan, pertandingan dan cabaran master chef dan lain-lain. Antaranya yang akan menarik perhatian adalah pertandingan jaguh makan, bengkel pulut panggang Tutong, sajian dan masakan daripada puak-puak dan masyarakat di Daerah Tutong serta demonstrasi memasak nasi menggunakan kayu api. Semua aktiviti ini boleh disertai oleh orang ramai mengikut jadual yang telah pun  disusun di sepanjang karnival ini berlangsung.

Karnival Lakanon Tutong juga diselajurkan dengan acara Tutongku Ceria dan Hari Keluarga. Yang mana acara-acara ini akan mengambil tempat seawal jam 5.00 pagi pada hari Ahad yang dimulakan dengan Solat berjemaah dan Tazkirah Subuh di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong. Diikuti dengan aktiviti-aktiviti berbentuk riadah dan kekeluargaan bermula jam 6.45 pagi  dan berakhir jam 10.00 pagi. Iaitu senamrobik, riadah berbasikal sejauh 13KM, jalan santai dan acara sukan ria hari keluarga. Acara-acara ini akan berlangsung di kawasan Jeti Sungai Tutong dan Gerai Selesa Pekan Tutong.

Pada hari terakhir (Ahad) iaitu sebaik sahaja acara Tutongku Ceria dan Hari Keluarga berakhir, para pengunjung dan orang ramai beralih ke Kawasan Bangunan Pasar Malam bagi acara Karnival Lakanon Tutong. Penglibatan seluruh lapisan masyarakat daripada mukim dan kampung di Daerah Tutong juga bakal memeriahkan acara Menumpah Ambuyat Semukim. Acara ini dikendalikan oleh biro – biro wanita daripada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di Daerah Tutong sebagai usaha mencipta rekod menumpah ambuyat paling banyak dan makan ambuyat paling ramai. Orang ramai dialu-alukan turut serta bagi menjayakan acara ini serta berpeluang makan ambuyat secara percuma. Juga disediakan bengkel dan pertandingan menumpah ambuyat. Aktiviti ini disediakan adalah sebagai platform bagi memperkukuhkan perpaduan dan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam sesuai dengan ambuyat adalah merupakan sajian eksotik yang digemari ramai.

Selain daripada itu para pengunjung dan orang ramai juga berpeluang untuk mengikuti perkhidmatan Tutong River Cruise bagi menyusuri keindahan Sungai Tutong pada waktu siang dan malam, pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta, paintball target shooting dan pameran burung juga mengambil tempat bagi memeriahkan acara Karnival Lakanon Tutong.

Created at 24/09/2018 16:39 by Noraisah Binti Osman
Last modified at 07/11/2018 15:48 by Nusratina Binti Hj Md Daud