TUTONG, 23 MEI 2023 - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengadakan jerayawara Bulan Keselamatan di Daerah Tutong.
Jerayawara tersebut termasuklah pameran, siri ceramah dan permainan interaktif yang diadakan di Dewan Kemasyarakan Serambangun.
Beberapa agensi yang turut serta dalam pameran itu termasuklah Sekretariat MPEC, JobCentre Brunei, Centre for Lifelong Learning (C3L), Lifelong Learning (L3) Centre, Pusat Promosi Kesihatan dan EX-TG Zones Consultant & Services.
Majlis perasmian jerayawara tersebut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Manakala SHENA diwakili oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Proses, Haji Ya’akub bin Haji Yusof.
Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah turut diberi peluang untuk melawat semua pameran yang terlibat dalam jerayawara tersebut dan diterangkan tentang peranan serta fungsi masing-masing oleh perwakilan agensi yang terlibat.