TUTONG, 28 MAC 2023 - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di dalamnya berserta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran pada hari Selasa, 06 haribulan Ramadhan 1444H bersamaan dengan 28 haribulan Mac 2023 bertempat di Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Mukim Keriam, Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha
Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai
dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di
dalamnya serta Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Pemangku-Pemangku
Ketua Kampung dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Tutong
berserta penduduk kampung sekitarnya.
Majlis dimulakan dengan bertadarus Al-Quran dan Bacaan Tahlil serta Doa Selamat dipimpin oleh Imam Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos.
Majlis diteruskan dengan penyampaian wakaf berupa
barangan elektrik yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam
Negeri kepada Yang Mulia Pengiran Ali Hanafiah bin Pengiran Haji Timbang, Imam
Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos dan derma
kepada anak-anak yatim dan diselajurkan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Majlis ini bertujuan
untuk menyemarakkan lagi bulan suci Ramadhan disamping menjalinkan hubungan
yang erat di kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
dan Jabatan-Jabatan di dalamnya dengan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung
dan pemimpin akar umbi.